Tuesday, January 6, 2009

Jangan Jadikan Sekolah Tadika Mangsa Peperangan Politik

Apa dah jadi dengan masyarakat kita sekarang? Saya tak mahu komen tentang perubahan tampuk pemerintahan di beberapa negeri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PKR). Itu adalah proses demokrasi yang harus dihormati. Namun yang paling saya tidak setuju ialah tindakan pihak kerajaan negeri Perak yang menutup premis yang telah menempatkan kelas TADIKA tersebut.


Saya akui bahawa jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) adalah sebuah agensi kerajaan Persekutuan. Maka sudah pasti kebanyakan guru-guru KEMAS turut terlibat aktif dalam kempen-kempen menyokong kerajaan Pemerintah khususnya dalam musim kempen pilihanraya. Tetapi ia tidak boleh dijadikan sebab untuk menidakkan hak anak-anak kecil yang baru hendak mengenal huruf serta nombor.

Saya amat yakin 100 peratus bahawa tiada satu pun kelas TADIKA KEMAS yang mengajar anak-anak kecil ini menjadi penyokong UMNO dan membenci parti pembangkang. Ini cukup saya pasti kerana saya dahulu membesar bersama kakak ipar yang turut menjadi guru tadika KEMAS. Dia tidak pernah berkempen sewaktu sesi kelas bersama anak-anak kecil itu.

Sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Tadika Minden, USM, saya amat maklum dengan kos pembelajaran di sekolah tadika swasta pada masa ini. Kos yang perlu dibayar oleh ibubapa bagi satu sesi bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari adalah sekitar RM190 sebulan/seorang.

Sedangkan kos yang dikenakan di tadika KEMAS cuma RM10/sebulan (kalau tidak silap saya). Maknanya..... 11 000 kanak-kanak di Perak itu adalah anak-anak penduduk miskin yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan tetapi kini jadi mangsa politik dendam dan singkat fikiran.

Saya harap pihak kerajaan negeri Perak cari isu lain yang lebih sesuai untuk buktikan mereka relevan untuk rakyat.


Petikan dari Utusan Malaysia, 5 Januari 2009

Kerajaan Perak diminta nyatakan pendirian

IPOH 5 Jan. - Kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini diminta memberikan penjelasan berhubung tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengunci dan mengarahkan semua dewan yang dijadikan tabika Kemas di negeri ini dikosongkan mulai hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kerajaan negeri perlu menyatakan pendiriannya berhubung tindakan itu kerana JKKK dan pegawai daerah mendakwa mendapat arahan daripada kerajaan negeri tetapi dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

''Takkan semua JKKK dan pegawai daerah di seluruh negeri bertindak sendiri. Biasanya selepas dapat arahan baru bertindak dan sekarang apabila sudah bertindak, Menteri Besar kata ini bukan arahan saya tetapi arahan pegawai daerah.

''Jadi, kita hendak dengar apa sebenarnya keputusan kerajaan negeri. Kenapa pegawai daerah kata lain, JKKK cakap lain dan Menteri Besar pun kata lain," katanya selepas melawat tabika Kemas di Kampung Seri Ampang A di sini hari ini.

Tindakan kerajaan negeri Perak itu bakal menjejaskan pembelajaran prasekolah kira-kira 11,000 kanak-kanak yang sedang belajar di 700 tabika Kemas di seluruh negeri ini.

Menurut Muhammad, kerajaan negeri sepatutnya mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kepentingan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak.

Katanya, sama seperti sekolah, hospital dan balai polis, tabika Kemas juga dibina untuk semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka anak kepada ahli DAP, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Betullah dewan ini di bawah kerajaan negeri tetapi fikirlah tentang kepentingan anak-anak ini. Kalau tutup juga terpaksa kita buka tabika di premis lain tetapi ini akan menyusahkan ibu bapa dan anak-anak.

''Apa yang berlaku ini seolah-olah tabika Kemas sahaja nak kacau dan ambil tindakan sedangkan tanah yang orang teroka beribu ekar itu nampak tidak diambil tindakan," ujarnya.

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, beliau melahirkan rasa terkejutnya selepas melihat sendiri surat mengosongkan dewan yang dikeluarkan oleh JKKK Kampung Seri Ampang A.

''Pagi tadi, dia (orang JKKK) datang buka balik kunci pintu dan kata nak berdamai tetapi kita ada tengok surat buat keputusan hendak tutup tabika Kemas.

''Saya fikir ini satu perbuatan tidak bertanggungjawab kepada anak-anak kecil, apalah salah mereka hendak disuruh keluar," katanya.

Kata Muhammad, sekiranya kerajaan negeri sememangnya tidak membenarkan dewan orang ramai digunakan oleh tabika Kemas, pihaknya akan mencari premis lain di kawasan berhampiran bagi memastikan proses pembelajaran anak-anak ini tidak terjejas.

Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang memantau perkembangan tabika Kemas di Selangor dan Kedah.

''Di Selangor, mereka hendak pegang kunci pendua manakala Kedah membenarkan dewan digunakan untuk tabika Kemas," katanya.

No comments:

Post a Comment