Tuesday, December 30, 2008

Selamat Tahun Baru dan Selamat Berblogging

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Pertamanya saya ingin memanjatkan rasa syukur kehadhrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia serta inyahnya maka saya berpeluang untuk menuliskan sepatah dua kata dalam ruangan Buletin MBN pada kali ini. Peluang ini saya rasakan amat bermakna buat saya kerana inilah kali pertama saya menulis di Buletin MBNPP setelah dipilih sebagai Presiden MBNPP pada 19 Oktober 2008 yang lalu. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kepercayaan serta keyakinan para perwakilan terhadap kepimpinan saya selaku Presiden. Insyaallah, saya akan pikul segala mandate serta amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Saya akan meneruskan perjuangan MBNPP sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang benar-benar berkesan demi pembangunan masyarakat khususnya kaum belia di negeri Pulau Pinang.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan khusus kepada mantan Presiden MBNPP yang lalu iaitu Saudara Tan Yok Cheng yang telah banyak membantu serta membimbing diri saya untuk menjadi seorang pemimpin belia yang berfikiran jauh dan matang. Tidak saya lupakan semua rakan EXCO serta Ahli Dewan Tertinggi MBNPP bagi sidang yang lalu yang telah banyak membantu memperkayakan dan meningkatkan kefahaman saya terhadap pembangunan belia.

Saudara dan saudari sekalian,

Di saat saya menuliskan artikel ini, kita hanya ada beberapa jam sahaja untuk melangkah ke Tahun Baru 2009. Walaupun detik masa bergerak seperti biasa, namun lazimnya peralihan tahun seperti ini akan menuntut kita berfikir sejenak tentang setiap usaha kita yang lepas dan perancangan masa akan datang. Tarikh 31 Disember 2008 adalah hari terakhir kepada semua pertubuhan belia di negara ini untuk menghantar permohonan bagi pendaftaran di pejabat Pendaftar Belia (Registrar of Youth, RoY) di Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia. Ini bermakna mulai hari esok 1 Januari 2009 bermulalah fasa baru pertubuhan belia di negara ini yang kini di bawah kawal selia Pendaftar Belia dengan menggunakan ketetapan Akta Belia Dan Pembangunan Belia 2006 yang baru diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Bagi pihak MBNPP, kita telah menghantar permohonan pendaftaran kepada pihak RoY dan sedang menanti kelulusan pihak terbabit.

Saudara dan saudari sekalian,

Melangkah ke tahun baru 2009 kita tidak lagi boleh berputar-putar kepada isu peralihan kepimpinan orang lama kepada orang muda semata-mata. Isu tersebut kini harus diketepikan kerana fokus kita harus ditumpukan kepada isu yang banyak berkaitan dengan orang muda. Pelbagai cabaran sedia ada serta yang mendatang perlu kita tangani dengan penuh mendalam. Di samping isu-isu semasa seperti dadah, gejala sosial, jenayah dan moral, MBNPP akan memberikan perhatian khusus kepada isu peningkatan jangkitan HIV dalam masyarakat kita khususnya orang-orang muda. Ia sudah pasti ada banyak kaitan dengan gejala penagihan dadah serta pergaulan dan seks bebas. Namun begitu kini ia telah menular kepada individu yang tidak berada dalam lingkungan gaya hidup berisiko melalui proses perkahwinan yang sah. Ini berlaku ekoran status kesihatan pasangan yang tidak diketahui sebelum proses perkahwinan tersebut. Menyedari negara kita Malaysia kini berada dalam kelompok negara yang mempunyai kadar peningkatan jangkitan HIV dan AIDS yang begitu pantas maka MBNPP akan menjadikan tahun 2009 sebagai tahun memerangi AIDS dan HIV. MBNPP berharap dapat membantu pihak kerajaan serta agensi yang berkaitan untuk memastikan masyarakat mempunyai maklumat tepat berkaitan penyakit tersebut. Lebih penting dari itu, MBNPP akan cuba membentuk kelompok belia yang bersedia menjadi kumpulan sokongan kepada mangsa-mangsa penyakit ini. Justeru itu, MBNPP akan bekerjasama dengan NGO serta badan-badan khusus yang mempunyai pengalaman dalam hal ini bagi mendapat khidmat nasihat serta bimbingan. Saya yakin dengan jumlah ahli melebihi 200 ribu di bawah 16 badan gabungan peringkat negeri serta 5 badan gabungan Majlis Belia Daerah, MBNPP mampu memberikan kesan yang signifikan untuk membanteras atau mengurangkan ancaman ini.

Saudara serta saudari sekalian,

Saya juga mengambil perhatian kepada pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini yang di antaranya membenarkan pelajar universiti melibatkan diri dalam pertubuhan di luar universiti. Selaku Presiden MBNPP yang juga pernah terlibat sebagai mahasiswa, saaya amat mengalu-alukan pindaan ini. Justeru saya menyeru kepada semua rakan kepimpinan di badan-badan gabungan agar membukakan laluan seluas-luasnya kepada rakan-rakan Mahasiswa dan Mahasiswi ini untuk menyumbangkan khidmat bakti serta kepakaran masing-masing. Saya yakin melalui penglibatan ini akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para mahasiswa tentang keperluan masyarakat di peringkat akar umbi serta pahit getir sesebuah NGO untuk meneruskan survival dalam usaha membangunkan masyarakat.

Saudara serta saudari sekalian,

Saya juga menjangkakan dalam tempoh suku tahun pertama 2009, kita akan merasai kesan kegawatan ekonomi di negara kita. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pergantungan terhadap sektor perkilangan, pelancongan dan perkhidmatan, saya yakin akan berlaku pengical bagi sektor-sektor di atas. Sehubungan itu, MBNPP mengambil perhatian yang cukup mendalam terhadap isu-isu pemberhentian pekerja, penutupan operasi kilang serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Saya berharap pihak industri berusaha sedaya upaya untuk meneruskan operasi dan seterusnya mengekalkan para pekerja khususnya dalam kalangan rakyat tempatan. Dalam masa yang sama MBNPP akan membantu para belia yang diberhentikan ini untuk menukar kerjaya dalam perniagaan kecil-kecilan atau terlibat dalam sektor pertanian. MBNPP akan bekerjasama dengan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri agar Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) dimanfaatkan secara optimum bagi tujuan tersebut.

Saudara serta saudari sekalian,

Melalui ruangan ini saya juga fikir amat penting untuk saya menyentuh satu isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa yang telah lama timbul tetapi masih jauh dari penyelesaiannya. Peristiwa pembunuhan penduduk awam termasuk wanita, orang tua serta kanak-kanak yang tidak berdosa semakin dahsyat dilakukan oleh tentera Israel. MBNPP terasa begitu kerdil untuk menyuarakan bantahan serta kemarahan. Namun melalui ruangan kecil ini saya berharap suara-suara para pemimpin belia ini akhirnya akan bersatu dengan kehendak kita terhadap kedamaian sejagat. Saya ingin menegaskan bahawa peperangan atau tindakan kekerasan bukan jalan penyelesaian sesuatu konflik. Sehubungan itu, selaku rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian, saya menyeru semua pihak agar menolak mana-mana pihak yang mahu mencetuskan konflik melalui asas perbezaan anutan agama, ideologi politik atau perbezaan kaum. Saya ingin megaskan bahawa kita wajib berpegang kepada kontrak sosial masyarakat kita yang ditunjangi oleh Perlembagaan Malaysia. Saya yakin inilah formula yang perlu kita pegang dan tetap relevan untuk masa-masa yang akan datang. Saya yakin MBNPP akan terus dapat menjadi contoh kepada sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling memerlukan. Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju Jaya kepada semua penggiat belia Pulau Mutiara. Wassalam.

1 comment:

  1. salam,

    mana nyer kata nak tulis byk2... kang lupa lg la jwb nyer...

    ReplyDelete